Kakitangan PKPS melayan pengunjung terdiri daripada petugas barisan hadapan dan ahli keluarga pada program Jelajah Ehsan Rakyat di Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah pada 29 Mei 2023. Foto Ihsan Ahli Majlis Zon 19 Majlis Perbandaran Ampang Jaya
AGENDANASIONAL

DUN Teratai anjur jualan murah khas, rai petugas barisan hadapan

Oleh Shamz Johan

SHAH ALAM. 29 MEI: Lebih 500 ekor ayam habis dijual pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) untuk petugas barisan hadapan di Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah hari ini.

Penolong pegawai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, Mohd Firdaus Bahb berkata program itu bagi menghargai jasa dan pengorbanan pegawai bomba dan polis di kawasan Pandan.

“Mereka selalu ada kekangan untuk sertai JER kerana bertugas dan sebagainya, jadi kita anjur khas di tempat mereka untuk beri penghargaan.

“Kenaikan kos sara hidup turut dirasai segenap lapisan masyarakat, jadi kita buat jualan khas di tempat mereka bagi membantu mengurangkan beban kewangan,” katanya ketika dihubungi.


Kakitangan PKPS melayan pengunjung terdiri daripada petugas barisan hadapan dan ahli keluarga pada program Jelajah Ehsan Rakyat di Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah pada 29 Mei 2023. Foto Ihsan Ahli Majlis Zon 19 Majlis Perbandaran Ampang Jaya

Lebih 400 pengunjung terdiri daripada ahli keluarga anggota polis, bomba dan penguat kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hadir sejak 8.30 pagi untuk mendapatkan pelbagai barangan seperti ayam, daging dan beras pada harga murah.

Jualan khas itu juga pernah diadakan Februari lalu yang turut memberi tumpuan petugas barisan hadapan sekitar daerah Hulu Langat.

JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lalu.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :