SHAH ALAM, 31 MEI: Buat julung kalinya Selangor menganjur program Silang Budaya bagi memperkenal seni dan warisan negeri ke luar negara.
EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata program bersama kerajaan Indonesia itu akan diadakan pada 9 hingga 13 Jun depan.
“Kita terima jemputan untuk mengunjungi Indonesia di Jakarta dan Bandung bagi program Silang Budaya.
“Ini juga adalah usaha kita untuk membawa serta memperkenal budaya Selangor ke peringkat antarabangsa dan Asia Tenggara khususnya,” katanya kepada Selangorkini.
Menurut Borhan antara pengisian program tersebut adalah persembahan kebudayaan, sesi dialog dan lawatan ke pusat warisan terkenal di Indonesia.
Jelasnya, Selangor akan mempersembah muzik keroncong dari Kuala Selangor serta Kumpulan Caklempong Kuala Langat.
“Rombongan kita juga akan membawa wakil persatuan kebudayaan, pegawai, dan wakil media tempatan,” katanya.