Hairul Mafahir Abdullah menunjukan Anugerah Prince’s Trust Sustainability Award for Asia 2022 yang diterima pada Majlis Anugerah Prince’s Trust Sustainability Award 2022 dan Anugerah Program TEAM Malaysia 2023 di Kuala Lumpur pada 31 Mei 2023 .Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELAMGORKINI
AGENDANASIONAL

Pernah hilang kerja, pemuda terima Prince’s Trust Sustainability Award for Asia 2022

Oleh Diana Abd Wahab

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Penyelaras Biodiversiti dan Pemulihan Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Hutan Hujan Tropika (TRCRC) Banun, Perak dipilih menerima Prince’s Trust Sustainability Award for Asia 2022 oleh Prince’s Trust International (PTI).

Hairul Mafahir Abdullah, 26, ketika ditemui berkata dia tidak menyangka dipilih menerima anugerah daripada PTI yang merupakan sebuah organisasi global diasaskan oleh Raja Charles III bagi menyokong golongan belia seluruh dunia menangani krisis global pengangguran itu.

“Sebelum ini saya bertugas sebagai juruteknik kejuruteraan selama dua tahun namun hilang kerja selepas Covid-19 menyerang negara pada 2020. Dalam usaha cari kerja baru saya temui Program TEAM yang dilaksanakan Selangor Youth Community (SAY).

“Program ini ubah 360 darjah kehidupan saya. Dari bidang kejuruteraan saya beralih kepada bidang konservasi hutan. Selama sembilan minggu ikuti program ini saya belajar banyak perkara termasuk kepimpinan, kewangan dan persediaan pekerjaan.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (dua,kiri) berkenan menyampaikan Anugerah Prince’s Trust Sustainability Award for Asia 2022 kepada Hairul Mafahir Abdullah (dua, kanan) turut bersama Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay (kiri) dan Prince’s Trust International Head of Delivery to Asia ,Wassim Malik (kanan) pada Majlis Anugerah Prince’s Trust Sustainability Award 2022 dan Anugerah Program TEAM Malaysia 2023 di Kuala Lumpur pada 31 Mei 2023 .Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELAMGORKINI

“Selepas ikuti program penempatan kerja saya kemudian ditawarkan pekerjaan sebagai penolong penyelidik di TRCRC Banun sebaik tamat Program TEAM,” katanya selepas majlis penganugerahan Prince’s Trust Sustainability Award for Asia di Sunway Putra Hotel di sini, hari ini.

Anugerah disampaikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Baginda diiringi Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj; Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Nurul Azwa Mohd Rodzi; Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay dan Ketua Penyampaian Asia PTI, Wasim Malik.

Hairul yang berkelulusan Diploma Teknologi Mekatronik berharap, pengiktirafan yang diterima membuka mata masyarakat khususnya anak muda bahawa banyak peluang pekerjaan ditawar dalam bidang konservasi hutan.

“Di TRCRC saya mempelajari perkara baharu membabitkan perhutanan. Bekerja dalam bidang ini turut bantu saya belajar banyak perkara dengan komuniti Orang Asli di Gerik Perak.

“Ini secara tidak langsung bantu komuniti terbabit dapat peluang pekerjaan menerusi kerjasama yang terjalin,” katanya.

 


Pengarang :