SHAH ALAM, 1 JUN: Selangor menjadi penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi negara bagi sektor ekonomi dan infrastruktur dengan unjuran sejumlah RM7.1 bilion.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedua-dua sektor menyumbang lebih RM2 bilion untuk pelaksanaan program dan projek Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
“Sebanyak 231 projek fizikal telah dirancang dan sebanyak 24.7 peratus telah siap dilaksanakan. Sebanyak 28 projek masih dalam pelaksanaan dan 146 projek masih dalam perancangan.
“Ini merupakan tambahan kepada sejumlah RM6 bilion yang diperuntukkan oleh Kementerian Kewangan bagi menampung pelaksanaan 559 projek dan program yang tersenarai dalam Rolling Plan ke-3 di bawah RMK12,” katanya pada sesi libat urus Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di sini hari ini.
Amirudin memaklumkan Rancangan Selangor Pertama pelan pembangunan negeri sendiri untuk tempoh lima tahun ke depan dibangunkan dengan beraspirasikan negeri pintar, berdaya huni dan makmur.
“Ia meliputi empat teras utama iaitu pengukuhan ekonomi, peningkatan kesejahteraan dan ketarangkuman sosial, pemacuan kelestarian dan tadbir urus SMART dan berkesan,” katanya.