Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree bercakap dalam program Bual Bicara Media dan Komunikasi – Kepentingan dalam Pembinaan Malaysia Madani di reruai Pavillion Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 3 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Terap etika kewartawanan, lapor berita sahih kepada masyarakat

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Pengamal media di seluruh negara perlu berpegang teguh kepada etika kewartawanan dalam menyampaikan maklumat atau berita kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata penekanan etika amat penting untuk membawa hidup atau jalan dalam dunia media.

“Saya suka petik dokumentari berkaitan bekas Presiden Amerika Syarikat Franklin Delano Roosevelt yang lumpuh dan berkerusi roda pernah terjatuh tetapi tiada wartawan melaporkan.

“Berbeza dengan sekarang, jika berlaku pasti berlumba wartawan ambil gambar. Wartawan dahulu tidak melaporkan kerana etika kewartawanan ketika itu dan Roosevelt inspirasi kepada rakyat,” katanya.

Beliau ditemui pada program bual bicara Media dan Komunikasi: Kepentingan dalam Pembinaan Malaysia Madani di Pavilion Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Fareed menjelaskan pengamal media perlu mengetepikan pandangan peribadi dan menjadi pelapor maklumat yang bersifat neutral atau seimbang.

“Dalam mengurus organisasi media ada garis halus yang kadang kala kalau terlanggar boleh sebabkan ‘domino effect’ sangat besar seperti ketika negara dilanda Covid-19.

“Saya maklumkan kepada pasukan keutamaan adalah rakyat. Kalau ada kecenderungan parti, terpulang tetapi apabila menjadi wartawan perlu bersifat neutral dan lapor perkara sebenar,” katanya.


Pengarang :