Oleh Shamz Johan
PETALING JAYA, 5 JUN: Lebih 15 kali hadir ke jualan murah Jelajah Ehsan Rakyat (JER), seorang suri rumah bersyukur program berkenaan dapat bantu ringan beban keluarga kurang berkemampuan sepertinya.
Nor Monaliza Noordin, 46, tinggal di Taman Subang Baru berkata disebabkan harga yang ditawar murah, dia dapat membeli ayam dan daging untuk penuhi keinginan makan anak-anak.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/web-pix-3-500x333.jpg.webp)
“Memang mencabar membesarkan tujuh orang anak, dengan pendapatan suami yang bekerja sebagai pemandu juga tidak besar. Adakala, kami makan bubur dan nasi goreng sahaja.
“Alhamdulillah, selepas ada program jualan murah ini, dapatlah penuhi keinginan anak-anak hendak makan ayam dan daging, sekali gus membantu meringankan beban kewangan kami,” katanya.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Subang Baru, Fozi Mohamad Yusoff, 61, pula berkata JER sangat membantu ekonomi penduduk setempat dan berharap ia diteruskan.
“Program JER ini memang bagus kerana dapat membantu ekonomi penduduk dan keluarga B40. Ia perlu diteruskan serta boleh ditambah baik.
“Apapun inisiatif Kerajaan Negeri, paling penting rakyat akan mendapat manfaatnya,” katanya ketika ditemui.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/pix2-500x333.jpg.webp)
Pesara, Mohd Hatam Bahari, 61, pula berpendapat inisiatif Kerajaan Negeri ini wajar disokong oleh semua pihak.
“Program JER antara kaedah terbaik untuk menyantuni serta menghargai rakyat. Saya yakin dengan gabungan kekuatan dan sokongan semua pihak kita dapat memperkasa agenda membangunkan rakyat,” katanya.
Semalam, lebih 300 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara beratur seawal jam 7.30 pagi untuk membeli barang keperluan pada program JER walaupun hujan lebat.
Sebanyak 500 ekor ayam habis dijual dalam tempoh satu jam setengah selepas dibuka pada jam 10.30 pagi pada program di Dewan Budiman, Taman Subang Baru pagi tadi.
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/pix7-500x333.jpg.webp)
Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga awal Disember tahun lepas dengan nilai jualan melebihi RM16 juta.
Susulan sambutan menggalakkan, jualan murah yang sepatutnya berakhir pada Mei diteruskan hingga 1 September ini.
Orang ramai boleh melayari pautan http://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.