Atlet Karate R Sharmedran bergambar bersama trofi ketika Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah Alam pada 4 Jun 2023 . Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Pengorbanan 10 tahun Shamendran dalam sukan karate berbaloi, dinobat Olahragawan Selangor

SHAH ALAM, 5 JUN: Atlet karate R Shamendran mengakui usaha dan pengorbanannya selama 10 tahun dalam sukan berkenaan berbaloi apabila dinobatkan sebagai Olahragawan Selangor 2021-2022 sempena Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor, semalam.

Ia merupakan pengiktirafan pertama yang diterimanya di peringkat Negeri Selangor hasil kejayaan memenangi pingat emas acara karate kategori bawah 75 kg Sukan Sea 2023 di Kemboja.

“Kemenangan ini membawa lagi rezeki buat saya selepas memikul amanah pemegang bendera di Sukan Sea Kemboja 2023.

“Selepas 10 tahun mewakili negara, anugerah ini sangat istimewa dengan kerja keras saya untuk membawa kejayaan kepada negara melalui sukan karate.

“Untuk capai kejayaan rangkul anugerah ini, pengorbanan saya kena lalui adalah tiada kehidupan biasa masa habis pada latihan dan tinggalkan keluarga.,” katanya kepada pemberita selepas majlis anugerah berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Sukan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah Alam pada 4 Jun 2023. Hadir sama EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman (tiga, kiri) dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Mohamad Nizam Bin Marjugi (kanan). Foto ARIF MUHAMMAD/SELANGORKINI

Atas kemenangan itu, Shamendran membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, piala iringan dan sijil yang disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini.

Shamendran mengetepikan lima lagi pesaingnya Choong Javen (Ping Pong), Tun Ameerul Luqman Tun Hasnul (Tenpin ), Haritz Iklil (Menembak), Rhaasrikanesh Kanavathi (Golf) dan Terence Ng Shin Jian (Renang) untuk anugerah itu.

Beliau turut meluahkan rasa motivasi dengan kemenangan ini untuk berusaha lebih gigih bagi merangkul pelbagai lagi kejayaan dalam sukan karate.

“Anugerah ini memberi semangat lagi buat saya untuk mencapai lagi banyak kejayaan serta mempertahankan kejuaraan ini lagi tahun depan.

“Semua yang tercalon mempunyai pencapaian hebat dan semestinya memberi saingan sengit untuk anugerah ini, namun syabas untuk mereka juga,” katanya.

Katanya, beliau kini sedang membuat persediaan rapi untuk mengharungi Sukan Asia pada Oktober hadapan di China.

 


Pengarang :