Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze ketika ditemui Media Selangor sempena Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Subang Jaya di Count 6, Subang Jaya pada 7 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN Subang Jaya: Atasi banjir, dana RM400,000 bina kolam tadahan di Jalan USJ 1/2

Oleh Azian Aziz

SUBANG JAYA, 7 JUN:  Sebuah kolam tadahan banjir dibina dengan kos RM400,000 di kawasan perindustrian USJ 1/2 di sini bulan depan, bagi mengatasi isu banjir di kawasan tersebut.

Wakil rakyat Subang Jaya berkata pembinaan kolam tadahan yang dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

“Pembinaan kolam tadahan tersebut diharapkan dapat mengatasi masalah banjir dan melegakan pemilik industri dan penduduk di sekitarnya.

“Pada Disember 2021 dan Mac 2022 kawasan tersebut pernah dilanda banjir besar  yang menyebabkan kerugian kepada pemilik industri serta 10,000 penduduk di dua pangsapuri.

“Pembinaan kolam tadahan di bawah peruntukan projek Selangor Penyayang diharap melegakan penduduk sekitar,” katanya ditemui dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Flat Court 6 Good Year Subang Perdana, USJ 8 di sini hari ini.

Beliau berkata pentadbiran Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menyelesaikan pelbagai isu demi kesejahteraan rakyat.

“Kita bukan sahaja membina kolam tadahan banjir tetapi juga penyelenggaraan dan naik taraf kemudahan awam,” katanya.


Pengarang :