SHAH ALAM, 10 JUN: Dato’ Menteri Besar berazam untuk membangkitkan isu kebajikan penghantar makanan atau pekerja p-panggilan pada sesi Dewan Rakyat akan datang.
Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan kadar upah yang tidak setimpal selain caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) antara perkara yang akan diberi tumpuan.
“Isu pekerja p-panggilan ini ada macam-macam perkara, antara yang sering dibangkitkan isu ‘tip’ atau bayaran tidak sekata. Mungkin hal ini perlu dilihat bagaimana ia boleh dikoordinasi.
“Begitu juga dengan hal KWSP mereka dan sebagainya,” katanya ditemui pada majlis penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) sempena Festival Belia Selangor di sini hari ini.
Menurut Amirudin, sudah tiba masanya kerajaan memandang serius nasib pekerja p-panggilan berikutan pekerjaan itu kini menjadi pilihan ramai golongan belia.
“Mereka ini menyampaikan keperluan masyarakat dan kita pernah bergantung kepada mereka ketika pandemik. Penghargaan seharusnya diberikan kepada mereka,” katanya.
Terdahulu, seramai 3,000 penghantar makanan yang berdaftar bawah RiDE menerima wang tunai RM500 dan caruman KWSP bernilai RM50.
Program yang dilaksanakan sejak 2020 turut memberi pelbagai manfaat lain seperti caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Skim Insurans Am Selangor (INSAN).