SHAH ALAM, 11 JUN: Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang memberi wang tunai RM500 dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bernilai RM50 menjadi pemangkin semangat kepada pekerja p-panggilan.
Penuntut Mohd Zafri Mohd Fairuzzaki, 21, menyifatkan pemberian itu penghargaan kepada golongan penghantar makanan di Selangor.
“Saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sudi meringankan beban kami.
“Saya bekerja separuh masa sebagai penghantar makanan untuk menampung pembelajaran,” kata penuntut Diploma Kejuruteraan Awam Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
Sementara itu, Farah Azali, 30, berkata dia mahu memanfaatkan pemberian RiDE dengan membantu menampung perbelanjaan ekonomi keluarga.
Menurutnya dia memilih menjadi pekerja p-panggilan separuh masa untuk membantu suaminya dan terlibat dalam pekerjaan itu sejak dua tahun lalu.
“Syukur kerana Kerajaan Negeri sudi bantu kami. Walaupun ini hanya kerja sambilan, namun ia dapat meringankan beban keluarga,” kata ibu kepada dua anak itu.
Mereka antara 3,000 pekerja p-panggilan yang diraikan pada majlis penyerahan RiDE sempena Festival Belia Selangor di Dataran Karnival Stadium Shah Alam di sini semalam.
Majlis itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Turut hadir EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman serta Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Mohamad Nizam Marjugi.