Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis perasmian sambutan Hari Belia Negara (HBN) peringkat Selangor di Pusat Kebudayaan (ICC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak pada 11 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Pimpinan belia harus berani bersuara, cakna cabaran semasa

GOMBAK, 11 JUN: Pimpinan belia negeri ini harus berani menyuarakan pandangan dan mempunyai iltizam yang kuat dalam menentukan masa depan mereka.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata golongan itu juga harus cakna dengan kepelbagaian situasi dan cabaran semasa dalam mendekati pelbagai kelompok belia.

“Adalah satu cabaran (pimpinan belia masa kini) untuk memastikan keterhubungan antara kelompok anak muda dan belia yang sangat rencam berbanding zaman sebelum ini.

“Sebab itu saya memberi cabaran supaya pimpinan belia mempunyai keberanian untuk menyuarakan pandangan mereka dan (mempunyai) iltizam atau keazaman yang kuat untuk menentukan masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Belia Negara (HBN) Selangor 2023 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim (kanan) serta EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan Mohd Khairuddin Othman (dua, kanan) melakukan gimik perasmian sambutan Hari Belia Negara (HBN) peringkat Selangor di Pusat Kebudayaan (ICC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak pada 11 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin menjelaskan pimpinan belia masa kini tidak boleh menjadi pemimpin yang hanya mengikut acuan atau situasi dicipta orang lain.

“Harus fahami keresahan dan krisis melibatkan anak muda masa kini dan cakna dengan kepelbagaian kelompok belia.

“Ini masa anda untuk mengisi nilai bersatu dan berpadu dalam kalangan belia sekaligus menyiapkan lapisan kepimpinan masa depan,” katanya.


Pengarang :