EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail meluangkan masa melihat seorang daripada peserta Grow Jahitan 2023, Maathavi Pachiappan sedang menjalani pembelajaran menjahit di Pusat Menjahit Sai Rani, Seri Kembangan pada 11 Jun 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Program bimbingan niaga diperluas, bantu ibu tunggal jana pendapatan

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SERI KEMBANGAN, 11 JUN: Program bimbingan perniagaan (Grow) diteruskan dengan memfokus bantuan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan ibu tunggal untuk menjana pendapatan.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata mereka akan dibimbing dan diberi motivasi dalam menjalankan perniagaan dibawah program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) melalui Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

“Kita tidak mahu peserta hanya setakat menyertai program dan mendapat sijil sebaliknya mereka dapat memanfaatkan program lain yang disediakan Sitham serta Hijrah.

“Ini termasuklah alat bantuan peralatan (geran), kursus kemahiran dan pembuatan serta latihan pembangunan keusahawanan yang dilihat mampu membantu taraf ekonomi masyarakat India Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Grow Jahitan di Pusat Menjahit Sai Rani, di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kanan EXCO Pembangunan Usahawan,Hanafi Sudi, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah, Normaiza Yahya dan Pengurus Sitham, Kenneth Sam.

Sitham dilancarkan pada September 2019 memfokuskan usahawan India yang komited memajukan perniagaan dengan diberi bimbingan, geran dan peralatan perniagaan.

Empat program keusahawanan ditawarkan iaitu latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, program bimbingan perniagaan (Grow) serta program bantuan peralatan perniagaan (Geran).


Pengarang :