Penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) bagi menggantikan sistem pencahayaan konvensional di Pelabuhan Klang. Foto Facebook Lembaga Pelabuhan Klang
AGENSISELANGOR

JMB dipelawa sertai program ganti, pasang lampu LED, jimat tenaga elektrik

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 11 JUN: Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) di negeri ini dipelawa menyertai program penggantian dan pemasangan lampu diod pemancar cahaya (LED) atau solar bagi mencapai sasaran bebas karbon 2050.

Ketua penolong pengarah (bahagian pembangunan operasi) Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) Norhanizan Sahib berkata program ini juga dapat membantu pengurusan JMB dan MC negeri ini menjimatkan penggunaan elektrik bagi tempoh jangka panjang.

“Program ini merupakan kerjasama pintar di antara LPHS dengan Odesi ECOB Sdn Bhd, Synergy Esco (M) Sdn Bhd dan Scomi Capital Sdn Bhd melalui memorandum persefahaman yang memperuntukkan RM400 juta untuk pemasangan lampu LED khusus untuk kediaman dan komersial strata di Selangor.

“Tiada bayaran pendahuluan pemasangan serta penyenggaraan dikenakan. JMB dan MC boleh memanfaatkan program tenaga hijau ini tanpa perlu mengeluarkan kos kerana telah dibiayai dalam dana yang diperuntukkan oleh syarikat berkenaan,” katanya.

Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Pembangunan Operasi) Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) Norhanizan Sahib. Foto MPAJ

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Meraikan Kecemerlangan Alam Sekitar Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) 2023 di Menara MPAJ semalam.

Menurut Norhanizan bagi menyertai program ini, pihak JMB dan MC perlu memenuhi kriteria iaitu skim bangunan berstrata perlu mempunyai lampu melebihi 300 unit di kawasan mereka.

“Badan pengurusan juga mesti melepasi semakan kredit seperti tidak ada tunggakan bil elektrik, tidak ada kes mahkamah, perlu menunjukkan laporan audit tahunan ataupun tiga tahun laporan perakaunan pengurusan, tiga bulan penyata bank dan daftar untuk `autopay’,” ujarnya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Dr. Ani Ahmad menyampaikan sijil kepada pihak pengurusan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Ukay Indah kerana menerima Pengiktirafan Kelestarian Alam Sekitar Program Inisiatif Hijau di Menara MPAJ semalam. Foto MPAJ

Tambah Norhanizan JMB dan MC yang berminat menyertai program penggantian dan pemasangan lampu LED atau solar boleh membuat permohonan di LPHS atau melalui pejabat Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB).

Sementara itu, dalam majlis yang sama Pangsapuri Ukay Indah menerima Pengiktirafan Kelestarian Alam Sekitar Program Inisiatif Hijau.

Pangsapuri itu merupakan yang pertama di bawah pentadbiran MPAJ menyahut seruan Kerajaan Negeri menggunakan lampu LED di bangunan kediaman tahun ini.


Pengarang :