Klinik Nur Sejahtera antara tujuh klinik kesejahteraan lelaki yang membantu menangani masalah kesuburan golongan itu di negara ini. Foto Facebook Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluara Negara
AGENDANASIONAL

Tujuh klinik kesejahteraan lelaki tawar khidmat rawatan kesuburan

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan tujuh klinik perkhidmatan klinik kesejahteraan lelaki bermula tahun lalu dalam usaha membantu menangani masalah kesuburan golongan itu di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Raj Munni Sabu berkata perkhidmatan itu ditawarkan di Klinik Subfertiliti Kuala Lumpur, Klinik Subfertiliti Johor Bahru, Klinik Subfertiliti Pulau Pinang, Klinik Nur Sejahtera (KNS) Jalan Raja Laut, KNS Melaka, KNS Dungun dan KNS Sarawak.

“Ia merupakan antara tiga inisiatif Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluara Negara (LPPKN) untuk mengatasi masalah kesuburan golongan lelaki di negara ini.

“Selain itu, kementerian juga menyediakan klinik subfertiliti LPPKN yang menawarkan perkhidmatan Prosedur Permanian Beradas (IUI), Pensenyawaan In-Vitro (IVF) dan Intra Cytoplasmic Sperm Injection (ICSI),” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang ingin mengetahui apakah inisiatif khusus kerajaan untuk membantu lelaki yang mengalami masalah kesuburan.

Katanya, kerajaan turut mengadakan aktivti melalui advokasi dan promosi serta pengecualian cukai bagi rawatan kesuburan sehingga RM6,000 selain bantuan program subsidi rawatan kesuburan yang kebanyakan disediakan untuk penjawat awam selain mereka turut boleh menuntut daripada majikan perbelanjaan rawatan itu.

Sementara itu, Raj Munni berkata hasrat kerajaan untuk membantu pasangan di Malaysia bagi menangani masalah ketidaksuburan khususnya mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah iaitu M40 dan B40 melalui perkhidmatan Subfertiliti LPPKN, telah mencapai objektif.

“Berdasarkan data, perkhidmatan ini yang diperkenalkan sejak 1979 hingga April lalu menunjukkan perkhidmatan Subfertiliti LPPKN mendapat sambutan memberangsangkan dan dalam tempoh berkenaan 40,576 kes baharu direkodkan dengan 262,657 kes ulangan telah dicapai.

“Jumlah kes baharu tahunan dianggarkan setakat ini 1,500 hingga 2,000 setiap tahun. Ini menunjukkan perkhidmatan Subfertiliti LPPKN terus mendapat sambutan konsisten, manakala jumlah kes ulangan boleh mencecah sehingga 9,000 kes setiap tahun,” katanya.

Secara langsung katanya, angka itu menunjukkan keyakinan pasangan untuk terus mendapatkan perkhidmatan Subfertiliti LPPKN.

– BERNAMA


Pengarang :