Orang ramai mengambil makanan percuma menerusi program Dapur Kinrara di Balai Masyarakat MBSJ Puchong Jaya pada 11 Jun 2023. Ihsan Foto Pusat Khidmat DUN Kinrara
ADNSELANGOR

Program Dapur Kinrara diteruskan, agih makan percuma setiap Ahad

Oleh Azamin Amin

SHAH ALAM, 12 Jun: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara masih meneruskan program agihan makanan percuma pada setiap Ahad sejak dilancarkan ketika tempoh pandemik Covid-19 pada 2020.

Wakil rakyatnya Ng Sze Han berkata inisitif Dapur Kinrara yang mengagihkan makanan tengah hari pada setiap minggu telah memanfaatkan lebih 300 individu terdiri dari pelbagai latar belakang, bangsa dan usia.

“Dapur Kinrara adalah dapur untuk semua. Kita tetap teruskan agihan makanan percuma meskipun pandemik telah berakhir. Setiap Ahad kami edar makanan tengahari percuma untuk mereka yang memerlukan agar perut rakyat sentiasa terisi.

“Ada pepatah menyatakan ‘there’s no free lunch in this world’ tapi di Puchong, kita ada ‘free lunch’ setiap Ahad di Balai Masyarakat MBSJ Puchong Jaya,” katanya yang juga EXCO Kerajaan Negeri kepada Selangorkini.

Sukarelawan menyediakan makanan percuma untuk diagihkan kepada orang ramai di Balai Masyarakat MBSJ Puchong Jaya pada 11 Jun 2023. Ihsan Foto Pusat Khidmat DUN Kinrara

Beliau berkata terdapat pasukan sukarelawan terdiri mahasiswa universiti dan kakitangan MBSJ yang turut membantu menjayakan program itu manakala jenis makanan yang disediakan adalah vegetarian, mihun dan mi.

“Kita akan terus menyumbang bakti pada setiap Ahad dan bersedia menambah bilangan pek makanan jika diperlukan selain mempelawa orang ramai menyumbang bahan masakan dan menjadi sukarelawan untuk Dapur Kinrara ini,”katanya.


Pengarang :