SHAH ALAM, 12 JUN: Seramai 1,000 termasuk pasukan antarabangsa bakal menyertai pertandingan lumba basikal Selangor International Race (SIR) 2023 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 25 Jun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abas berkata antara nama besar yang mengesahkan penyertaan adalah pasukan nombor satu Asia, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) selain pasukan dari Singapura.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/P_SIR-1-500x333.jpg.webp)
“Pertandingan ini melibatkan lapan kategori lelaki dan wanita sejauh 145 kilometer (km) dan acara khas melibatkan VIP (kenamaan) sejauh 35 km. Ini menjadi medan tempur nama besar antaranya dari Indonesia, Singapura dan England.
“Laluan bermula dan berakhir di ibu pejabat PKNS. Peserta akan menempuh laluan rata, beralun dan kawasan lapang selain melalui beberapa lokasi menarik seperti Selangor Fruit Valley,” katanya ditemui selepas pra pelancaran SIR 2023 hari ini.
Mahmud berkata pertandingan julung kali yang menawarkan hadiah keseluruhan RM64,000 itu dijangka turut disertai Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/P_SIR-8-500x333.jpg.webp)
“SIR mendapat sambutan menggalakkan. Dalam tempoh sebulan dibuka, pendaftaran mencecah lebih 1,000 dan kita terpaksa hadkan kepada 1,000 peserta terawal sahaja.
“Berikutan itu kita akan jadikan program sukan ini sebagai acara tahunan. Secara tidak langsung ia dapat mempromosikan PKNS dan negeri ini,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/P_SIR-11-500x333.jpg.webp)
Dalam program berkenaan Mahmud turut memperkenalkan barisan penaja utama antaranya Worldwide Holdings Berhad, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, Decathlon, Hutan Ration dan Central Spectrum.