Penduduk sekitar DUN Ijok mendapatkan barangan keperluan pada program Jualan Ehsan Rahmah di pekarangan Masjid Darul Ibadah Kampung Harmoni Ijok, Kuala Selangor pada 13 Jun 2023. Foto YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

300 penduduk DUN Ijok serbu jualan murah, 500 ayam habis kurang dua jam

Oleh YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

KUALA SELANGOR, 13 JUN: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok hari ini mendapat sambutan memberangsangkan apabila 500 ekor ayam terjual dalam tempoh kurang dua jam.

Ketua Kampung Harmoni Zulizam Ramli berkata barangan asas lain seperti telur, beras, ikan dan daging turut terjual dalam tempoh singkat pada program di pekarangan Masjid Darul Ibadah Kampung Harmoni, di sini.

“Sambutan luar biasa kira-kira 300 pengunjung hari ini. Ada yang tidak sempat membeli beberapa barangan keperluan. Difahamkan penduduk beratur sejak 7.30 pagi bagi mendapatkan barangan dapur pada harga murah,

“Saya berharap selepas ini, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dapat menambah jumlah barangan kepada penduduk,” katanya ketika ditemui di hari ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Parit Mahang Saidin Johan berkata jualan murah memanfaatkan penduduk setempat khususnya B40 dan berharap ia dapat diteruskan bagi membantu rakyat berjimat dan menampung kos sara hidup yang tinggi.

“Selangor adalah negeri maju dan rakyat sememangnya patut mendapat manfaat seperti ini. Bagi saya program perlu diteruskan memandangkan rakyat hanya perlu keluarkan duit sikit tapi barang yang dapat dibeli banyak dan berkualiti” katanya yang turut berharap JER dapat dilaksanakan di lokasi mesra warga emas seperti di pekarangan masjid di sini.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program berkenaan memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai.

Beliau berkata program kendalian PKPS, anak syarikat Kerajaan Negeri, mencatat nilai jualan sekitar RM37 juta sejak pelaksanaannya.

Susulan sambutan menggalakkan, Pada 31 Mei, program Jualan Ehsan Rahmah yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan orang ramai.

PKPS turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.


Pengarang :