Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama kakitangan Yayasan Selangor selepas majlis Pelancaran Pelan Tindakan Strategik Pendidikan Dan Logo Baharu Yayasan Selangor serta majlis memorandum persefahaman antara Yayasan Selangor dengan rakan strategik di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada 13 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Yayasan Selangor rapatkan jurang pendidikan bandar, luar bandar

SUBANG JAYA: Yayasan Selangor berjaya merapatkan jurang pendidikan masyarakat luar bandar dan bandar sejak penubuhannya pada 1970, kata Dato Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata agensi berkenaan juga melahirkan sumber manusia yang berkualiti untuk mewarisi kepimpinan hari ini hingga ke masa hadapan.

“Antara cabaran awal sejak penubuhan Yayasan Selangor untuk memastikan keseimbangan antara masyarakat bandar dan luar bandar.

“Pelbagai insiatif diwujudkan bukan hanya bantuan wang tunai dan biasiswa kebajikan tetapi menyediakan asrama untuk mengenal pasti pelajar potensi di luar bandar yang dilatih untuk berkeyakinan dan kemampuan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Pelancaran Pelan Tindakan Strategik Pendidikan Dan Logo Baharu Yayasan Selangor di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada 13 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rancangan Strategik Pendidikan Negeri Selangor di Grand Dorsett Hotel, di sini hari ini. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor Eddie Ahmad Khodzali.

Tahun lalu, menerusi pembentangan Belanjawan 2023, Amirudin memaklumkan Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor diuruskan sepenuhnya Yayasan Selangor bermula tahun ini bagi menggembleng potensi dan prestasi pengurusan pendidikan negeri.

Jelasnya, yayasan itu akan bertindak sebagai agensi peneraju di samping elemen kawal selia dijajarkan ke Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor.


Pengarang :