Menteri Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad (depan, kiri) mendengar penerangan Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) Syaiful Azmen Nordin ketika sesi lawatan di Mangove Point, Pelabuhan Klang pada 13 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Taman rekreasi paya bakau di Klang dibuka dalam masa terdekat

KLANG, 13 JUN: Taman Mangrove Point seluas 70 ekar yang dibangunkan berhampiran Sungai Klang akan dibuka kepada orang ramai dalam masa terdekat, umum menteri alam sekitar

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata taman dibangunkan bawah projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) membawa masyarakat menghayati hutan paya bakau, yang berfungsi sebagai penyerap karbon.

“Ini usaha positif untuk membawa orang awam menghayati hutan bakau yang merupakan penyerap karbon lebih baik berbanding hutan biasa selain menangkap sisa plastik.

“Jika tidak dijaga, ia akan beri kesan. Saya dimaklumkan ada lagi beberapa kawasan yang akan ditambah baik untk dijadikan ekopelancongan di Selangor,” katanya ditemui di sini petang tadi.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan taman yang dibangunkan dengan kos RM10 juta dilengkapi surau, tandas, kawasan perkhemahan dan riadah selain aktiviti memancing.

Lokasi itu yang memiliki ekosistem bakau lebih 100 tahun dijangka menjadi salah satu tarikan pelancong tempatan dan antarabangsa apabila dibuka sepenuhnya kelak.

Orang ramai boleh menerokai taman tersebut dari pusat maklumat dan berjalan kaki sepanjang 1.6 kilometer untuk melihat keindahan flora dan fauna.

 


Pengarang :