EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berucap sempena majlis perasmian Konvensyen Islam dan Melayu Karamah Insaniyah Teras Pembentukan Jati Diri Umat di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 14 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Islam, Melayu antara teras utama rancangan negeri lima tahun

SHAH ALAM, 14 JUN: Kepentingan Islam dan Melayu antara teras utama dalam kerangka Rancangan Selangor Pertama (RS-1), kata EXCO agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau menjelaskan rancangan lima tahun itu memberi penekanan terhadap dua teras tersebut dalam merangka pembangunan dan kemajuan negeri seiring teknologi semasa.

“Menerusi pelan RS-1, Selangor berada di landasan tepat dan bergerak mengikut hala tuju termasuk hal ehwal Islam, kelestarian sosial serta kebajikan masyarakat.

“Teras Melayu dan Islam termasuk nilai dan ciri-ciri diutamakan supaya kegemilangan Melayu satu ketika dahulu dapat ditonjol semula,” katanya.

Berucap merasmikan Konvensyen Islam dan Melayu di bangunan pentadbiran negeri pada 14 Jun, Mohd Zawawi berkata program itu bertujuan melahirkan insan yang teguh berpegang nilai Islam.

“Ini kena pertahankan kerana ia kekuatan orang Melayu. Jadi, program ini menyasarkan barisan pemimpin, majlis pengurusan komuniti kampung, nazir, ahli majlis selain ahli politik.

“Kita sasar kumpulan ini supaya mereka lebih faham dan jelas hala tuju untuk menjadikan Selangor sebagai negeri yang utamakan Melayu serta syiar Islam,” katanya.


Pengarang :