Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying (tengah) bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara Ng Sze Han (enam, kiri) bergambar bersama pengetua sekolah selepas menyampaikan sumbangan sempena jelajah Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Syeksen 4, Kinrara pada 14 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kementerian agih RM600,000 bantu lima sekolah DUN Kinrara senggara kemudahan

SUBANG JAYA, 14 JUN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntuk RM600,000 bagi membantu lima sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menaik taraf kemudahan asas.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying memaklumkan baik pulih termasuk padang sekolah, tandas, bumbung dan siling, pagar, kantin serta laluan pejalan kaki.

Beliau menjelaskan sebanyak RM200,000 diagih kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 4 Bandar Kinrara, manakala RM100,000 untuk empat sekolah lain.

Menurutnya, sekolah itu ialah SMK Bandar Puchong Jaya (A), Sekolah Kebangsaan Puchong, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kinrara dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kheng Chee.

“Kita tahu kebanyakan sekolah memerlukan peruntukan penyelenggaraan kerana lama beroperasi. Saya harap peruntukan ini dapat dimanfaatkan setiap sekolah sebaiknya.

“Bagi KPM, perkara paling mustahak adalah keselamatan murid dan kebersihan. Jadi, kita akan bantu salur peruntukan untuk naik taraf kemudahan yang perlu,” katanya ditemui hari ini.

Sebelum itu, beliau menyertai sesi jelajah kementerian ke DUN Kinrara di sini, yang turut dihadiri EXCO kerajaan tempatan yang juga wakil rakyat kawasan itu Ng Sze Han.

Dalam belanjawan tahun ini, kerajaan persekutuan memperuntuk RM900 juta untuk menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah termasuk sekolah kebangsaan, SJKC dan SJKT.


Pengarang :