Oleh DIANA ABD WAHAB
KUALA SELANGOR, 14 JUN: Pembinaan tapak sampah baharu di Jalan Sasaran Bukit Kuching, di sini mengakhiri isu longgokan sampah di kawasan itu sejak lima tahun lalu, sekali gus melegakan penduduk.
Wakil rakyat Kuala Selangor Juwairiya Zulkifli berkata kemudahan itu memanfaatkan hampir 25,000 penduduk sekitar Bukit kuching, Kampung Bukit Hijau, Kampung Parit Mahang dan Taman Sasaran.
“Kita setuju bina platform atau kebuk sampah baharu untuk kegunaan penduduk sekitar dengan kos pembinaan lebih RM16,000 sumbangan KDEB Waste Management (KDEBWM).
“Selain itu, KDEBWM turut menyumbang tiga tong sampah jenis ‘leach bin’ di situ menerusi program tanggunggungjawab sosial korporat (CSR) mereka,” katanya ketika meninjau tapak sampah itu, hari ini.
Menurut Juwairiya sampah domestik dan pukal dari tapak berkenaan akan dipungut KDEBWM setiap Isnin, Rabu dan Jumaat.
“Kita harap dengan adanya tempat sampah baharu ini dapat selesaikan masalah yang membelenggu rakyat sejak sekian lama,” katanya.