Oleh Amirul Fazli
SHAH ALAM, 14 JUN : Sejumlah RM5 juta diperuntuk untuk menaik taraf jalan raya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang, kata wakil rakyatnya.
Chua Wei Kiat berkata peruntukan di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) itu digunakan untuk penurapan jalan berlubang, membaiki longkang tersumbat dan membaik pulih lampu jalan.
“Sejak tahun 2018 ketika diberi tanggungjawab sebagai wakil rakyat, saya telah menyatakan hasrat bagi menyelesaikan masalah banjir kilat dan infrastruktur di kawasan ini.
“Antara tempat tumpuan adalah kawasan kampung, perumahan taman dan kawasan utama di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya kepada Selangorkini.
Beliau berkata pada setiap tahun, peruntukan yang diterima tidak kurang dari RM3 juta dan ia digunakan untuk menyelesaikan permasalahan penduduk di kawasan tersebut.
“Syukur setelah usaha dalam 5 tahun ini, kita telah nampak hasilnya. Kawasan yang sebelum ini kerap berlaku banjir kilat ketika hujan lebat, kini tidak berlaku lagi,” katanya.