Persembahan seni cempuling dan muzik asli Selangor daripada Kumpulan Tunas Cempuling dan Muzik Asli Sri Kenchana pada program Silang Budaya ke Indonesia di Malaysia Hall Jakarta pada 9 Jun 2023. Foto Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tanjung Sepat
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program promosi seni cempuling, muzik asli Selangor ke Indonesia dapat reaksi positif

SHAH ALAM, 14 JUN: Penganjuran program Silang Budaya ke Indonesia oleh Kerajaan Negeri membuka peluang masyarakat negara itu mengenali seni cempuling dan muzik asli Selangor.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata peserta dari Indonesia amat teruja dan mahu mendalami kedua-dua seni budaya itu dengan lebih terperinci.

“Saya membawa kumpulan Tunas Cempuling dan muzik asli untuk membuat persembahan dan peserta di sana teruja dengan seni budaya Selangor dan meminatinya.

“Malah, mereka mengatakan seni budaya kedua-dua negara berbeza walaupun Malaysia dan Indonesia serumpun. Ini adalah peluang kepada Selangor memartabatkan seni cempuling dan muzik asli ke peringkat antarabangsa.

“Lawatan ini juga dapat membantu meningkatkan keyakinan pertubuhan cempuling dan seni muzik asli untuk membuat persembahan di luar negara,” katanya ketika dihubungi.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah bertemu Duta Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin / Syed Hussin pada program Silang Budaya ke Indonesia di Malaysia Hall Jakarta pada 9 Jun 2023. Foto Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tanjung Sepat

Susulan penganjuran program di Malaysia Hall Jakarta pada 9 Jun, Borhan berkata kerajaan Indonesia berhasrat membuat kunjungan balas ke Selangor untuk mempelajari seni cempuling dan muzik asli.

“Mereka memaklumkan akan mengunjungi Selangor selama seminggu semata-mata mahu mempelajari kedua-dua seni budaya ini secara terperinci.

“Untuk jangka masa panjang, saya juga berharap dapat membawa seni budaya lain seperti keroncong dan ronggeng ke peringkat Asean dan Brunei,” katanya.

Sebelum ini, Borhan memaklumkan Selangor buat julung kalinya menganjur program Silang Budaya bagi memperkenal seni dan warisan negeri ke luar negara yang berlangsung pada 9 hingga 13 Jun lalu.

Antara pengisian program tersebut termasuklah persembahan kebudayaan, sesi dialog dan lawatan ke pusat warisan terkenal di Indonesia.


Pengarang :