Premis yang menjalankan aktiviti memproses plastik terpakai di Taman Sentosa, Klang dikompaun MPK pada 12 Jun 2023. Foto Facebook MPK
PBTSELANGOR

MPK kompaun kilang plastik terpakai, premis cuci kereta operasi tanpa lesen

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 15 JUN: Sebuah kilang menjalankan aktiviti memproses plastik terpakai dekat Lorong Laksamana 31D, Taman Sentosa, Klang dikompaun kerana beroperasi tanpa lesen sah.

Menurut Majlis Perbandaran Klang (MPK) operasi pada Selasa lalu itu dilakukan susulan aduan orang awam berhubung bunyi bising dari premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen yang sah dan tidak mempunyai Kebenaran Merancang dan Sijil Layak menduduki,” kata MPK menerusi Facebook.

Premis mencuci kenderaan di Bandar Bukit Raja, Klang dikompaun setelah beroperasi tanpa lesen pada 12 Jun 2023. Foto Facebook MPK

Dalam operasi sama, sebuah premis di Jalan Astaka 5/ku2, Bandar Bukit Raja, Klang yang menjalankan perkhidmatan mencuci kereta turut dikompaun atas kesalahan sama.

“Premis tersebut yang beroperasi tanpa lesen itu telah menyebabkan jalan di lorong belakang rosak dan berlubang. Kompaun diserahkan kepada wakil premis,” katanya.

Kedua-dua premis dikompaun mengikut Undang-Undang Kecil (3) Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (UUK3 PTPP MPK) 2007.


Pengarang :