SHAH ALAM, 15 JUN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbangkan dana berjumlah RM5,000 kepada Hospital Shah Alam bagi menganjurkan Sambutan Hari Bebas Denggi.
Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan itu bertujuan menyokong usaha hospital berkenaan memberi kesedaran berkaitan denggi.
“Melihat kepada usaha mereka kami di pihak MBI berbesar hati untuk menyumbangkan dana sebanyak RM5,000 bagi memudahkan pihak hospital menganjurkan program.
“Kita berharap orang awam mula cakna dan mengambil serius berhubung penjagaan kebersihan persekitaran bagi mengelak dijangkiti demam denggi,” katanya kepada SelangorKini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Bebas Denggi peringkat Hospital Shah Alam di sini hari ini.
Turut merasmikan majlis sambutan itu adalah Pengarah Hospital Shah Alam Dr Ruzita Othman.
Mengulas mengenai kerjasama dengan hospital lain, Ahmad Azri berkata pihaknya sedia kolaborasi dengan mana-mana institusi kesihatan pada masa akan datang.
“Kerjasama bersama Hospital Shah Alam hari ini bukan kali pertama sebaliknya sebelum ini kita pernah menyumbangkan peralatan kesihatan juga di sini.
“Selain itu, Hospital Cyberjaya dan Ara Damansara Medical Centre juga pernah kita bekerjasama menghulurkan sumbangan,” katanya.