SHAH ALAM, 15 JUN : Selangor melaporkan 25,013 kes demam denggi sehingga awal Jun lalu dengan daerah Petaling merekodkan 7,987 kes termasuk dua kematian.
Pengarah Hospital Shah Alam Dr Ruzita Othman berkata statistik kes demam denggi itu menunjukkan tren peningkatan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, peningkatan itu berpunca sikap masyarakat yang tidak meluangkan masa untuk memeriksa rumah dan kawasan sekitar bagi memastikan nyamuk Aedes tidak membiak.
“Sikap tidak mengambil peduli mengenai tempat berpotensi untuk pembiakan nyamuk Aedes menyukarkan matlamat utama untuk menjadikan negeri Selangor bebas daripada denggi.
“Oleh itu, setiap ahli keluarga diminta meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap seminggu bagi memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk Aedes. Dengan cara ini, kita dapat membendung perebakan demam denggi dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas Sambutan Hari Bebas Denggi peringkat Hospital Shah Alam di sini hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/denggi-3-500x378.jpg.webp)
Program yang berlangsung mulai jam 9 pagi hingga 5 petang itu bertujuan memberi kesedaran kepada seluruh masyarakat mengenai kesan Aedes dan bahaya demam denggi.
Pelbagai pengisian diadakan antaranya pertandingan lukisan kreatif denggi, persembahan teater denggi daripada pelajar Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 dan kuiz interaktif serta aktiviti mencari jentik-jentik termasuk pameran berhubung nyamuk Aedes.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/denggi-2-500x313.jpg.webp)