Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa ketika membentangkan usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat pada 15 Jun 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Transformasi penyampaian perkhidmatan, cegah penyakit antara empat tonggak Kertas Putih Kesihatan

SHAH ALAM, 15 JUN: Memastikan pembiayaan kesihatan mampan dan saksama antara empat tonggak Kertas Putih Kesihatan yang dibangunkan bagi mereformasi sistem kesihatan negara secara sistematik bermula tahun depan hingga 15 tahun akan datang, kata Menteri Kesihatan.

Dr Zaliha Mustafa berkata ia juga bagi menentukan hala tuju sistem kesihatan negara supaya lebih komprehensif dan responsif kepada keperluan kesihatan rakyat semasa dan masa hadapan.

Katanya tiga tonggak lain adalah mentransformasi penyampaian perkhidmatan kesihatan serta mempertingkatkan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit.

Selain itu, memperkukuhkan landasan dan asas sistem kesihatan dan tadbir urus yang memberi fokus kepada reformasi dasar serta fungsi sistem kesihatan secara menyeluruh.

“Kertas Putih Kesihatan ini mengusulkan empat tonggak dan 15 strategi. Dari Mac 2022 hingga Jun ini, Kementerian Kesihatan mengadakan pelbagai sesi libat urus bersama 847 agensi dan 7,729 wakil mereka.

“Sesi bersama perunding antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kumpulan Bank Dunia (WBG) juga diadakan dan pandangan pakar mereka adalah usaha kertas putih ini turut mencerminkan perkembangan global dalam keperluan memperkukuhkan daya tahan sistem kesihatan,” katanya ketika membentangkan usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata sesi libat urus itu juga mendapati aspirasi rakyat menjurus pada mewujudkan sebuah negara yang sihat, memiliki sistem kesihatan yang saksama dan berpaksikan rakyat serta berdaya tahan, ekosistem kesihatan terbuka dan inovatif serta sistem kesihatan yang dihargai dan dibanggakan.

“Usaha (reformasi sistem kesihatan) ini akan dilaksanakan secara berfasa menjangkau masa 15 tahun, merangkumi jangka pendek iaitu lima tahun pertama bermula 2024, jangka sederhana bermula 2029 dan jangka panjang dari 2034 hingga 2039,” katanya.


Pengarang :