SHAH ALAM, 16 JUN: Pembangunan semula menara tinjau Ampang Look Out Point (ALOP) bakal menjadi titik pengembangan industri ekopelancongan bertaraf antarabangsa di negeri ini.
EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata Sungai Chongkak, Hulu Langat dan Taman Eko Rimba Kanching, Rawang juga bakal dibangunkan bagi menarik pengunjung terutama pelancong luar negara.
“ALOP menjadi lokasi permulaan. Selepas itu kita akan bangunkan chalet bertaraf empat lima bintang, glamping (khemah popular) di Sungai Chongkak dan air terjun Eko Rimba.
“Cadangan sudah dibawa ke Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor dan sekarang kita tunggu kelulusan. Harap dalam dua bulan ini selesai,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/01/hutan-500x335.jpg)
Beliau berucap pada majlis penyerahan hak pembangunan ALOP sebagai pusat kecemerlangan hutan negeri kepada Pearl Holiday Travel & Tour Sdn Bhd semalam.
Loy Sian menambah ketiga-tiga lokasi berkenaan tidak melibatkan pembangunan pesat demi menjaga kelestarian dan kemampanan alam sekitar.
“Kita banyak tempat pelancongan menarik cuma kemudahan seperti penginapan, tandas tidak menarik perhatian ramai.
“Jadi kita tumpu kepada kemudahan ini dan Selangor akan teruskan lagi usaha pembangunan produk pelancongan,” katanya.