EXCO Pertanian Ir Izham Hashim (berdiri, tengah) bergambar bersama selepas menyampaikan Insentif Pertanian Negeri Selangor pelbagai kategori kepada pada 15 Jun 2023 di Laman Kohijrah, Syeksen 15 Shah Alam. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Usahawan tani gembira terima bantuan, tekad terus kembang niaga

SHAH ALAM, 16 JUN: Insentif sektor pertanian oleh Kerajaan Negeri menyuntik semangat pengusaha industri itu untuk terus memajukan perniagaan masing-masing.

Pengusaha kuih loyang, Hairuddin Sudirman, 51, berkata peruntukan RM20,000 yang diterima membolehkan beliau mempelbagaikan variasi produk.

Pengusaha kuih loyang, Hairuddin Sudirman

“Syukur kerana saya terima insentif ini. Selepas ini saya mahu buat kuih loyang perisa pandan dan cheese khusus untuk menarik pelanggan muda.

“Saya mahu terus memartabatkan kuih loyang kerana ia merupakan kuih tradisi kita,” kata usahawan agropelancongan dari Sekinchan itu.

Sementara itu, Norlia Hashim, 50, berkata insentif sebanyak RM15,000 yang diterima akan digunakan untuk menambah kapasiti pengeluaran produk.

Pengusaha sambal sedia dimakan, Norlia Hashim

Beliau yang mengusahakan perniagaan sambal sedia dimakan berkata produknya menerima sambutan baik sejak mula dipasarkan tiga tahun lalu.

“Saya mahu meningkatkan pengeluaran kerana sekarang saya hanya buat secara manual. Saya mahu beli mesin-mesin bagi membantu perniagaan.

“Ketika ini saya sudah beroperasi di premis tapi masih menggunakan cara manual untuk memasak sambal dan makanan lain,” katanya.

Mereka antara 2,000 petani, nelayan, penternak dan hiliran pertanian (IAT) yang menerima insentif yang disampaikan EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim semalam.

Insentif tahunan itu dinaikkan kepada RM3.55 juta pada tahun ini berbanding hanya RM2 juta pada tahun lalu.


Pengarang :