SHAH ALAM, 16 JUN: Kerajaan Negeri bercadang menambah penganjuran jualan murah barangan asas kepada 18 lokasi selama dua hari sebelum menjelang Aidiladha.
EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata menerusi penganjuran Jualan Ehsan Rahmah (JER) berkenaan, penduduk lebih mudah mendapatkan kelengkapan raya dengan harga berpatutan.
“Kita adakan dua hari sebelum menjelang Aidiladha. Kita cadang penganjuran di 18 lokasi sehari namun masih meneliti lokasi yang sesuai.
“Kali ini kita tidak anjurkan mengikut permintaaan Ahli Dewan Negeri tetapi memberi keutamaan kepada penduduk Islam bagi memudahkan mereka menyediakan keperluan raya,” katanya kepada Selangorkini.
Semalam Izham memaklumkan pertambahan sekali ganda bilangan lokasi JER sempena Aidiladha berbanding penganjuran di sembilan kawasan ketika ini.
JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan orang ramai
PKPS juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri, baru-baru ini.