Orang ramai menunggu giliran untuk membeli barangan pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat DUN Paya Jaras di Kampung Matang Pagar pada 17 Jun 2023. FOTO YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Cadang wujud pasar mini ganti lokasi Jualan Ehsan Rahmah

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

SHAH ALAM, 17 JUN: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) diharap dapat diperluas dengan mewujudkan pasar mini untuk memudahkan penduduk membeli barangan asas pada harga murah.

Ahli Majlis Zon 20 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Farid Al-Amin berkata inisiatif itu diyakini dapat memanfaatkan lebih ramai penduduk berbanding jualan berjadual di satu-satu lokasi.

Ahli majlis Zon 20 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Farid Al-Amin

“JER salah satu inisiatif Kerajaan Negeri yang amat berjaya, justeru diharapkan dengan mewujudkan pasar mini rahmah, rakyat dapat membeli barangan keperluan secara harian.

“Ketika ini program JER mendapat maklum balas positif kerana berjaya membantu ramai berjimat di saat berdepan peningkatan kos sara hidup malah ramai mengharap program dilaksanakan dengan lebih kerap di kawasan mereka,” katanya pada JER di Kampung Matang Pagar di sini hari ini.

Farid juga berharap penduduk dapat mengekalkan sokongan terhadap Kerajaan Negeri agar dapat terus menikmati inisiatif dan skim bantuan disediakan selama ini.

JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan orang ramai.

PKPS juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri, baru-baru ini.


Pengarang :