Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Hartanah) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Ir MD Kamarzan Md Rais (kanan) menyiram pokok ketika Program Discover PKNS 2023 di Tasik Antara Gapi pada 17 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pembukaan McDonald’s di Antara Gapi mampu tarik pembeli hartanah

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 18 JUN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yakin pembukaan restoran makanan segera, McDonald’s dekat Antara Gapi November depan mampu menarik pembeli hartanah di kawasan terbabit.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Hartanah) PKNS Ir Md Kamarzan Md Rais berkata pihaknya kini giat menambah baik fasiliti dan landskap Antara Gapi dengan membina geleri jualan bersebelahan restoran itu.

“Kita harap dengan penambahbaikan yang dilaksanakan akan tambah daya tarikan untuk orang ramai beli rumah di kawasan ini.

“PKNS juga akan mulakan fasa dua penambahbaikan landskap dengan tanam lebih 3,000 pokok bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar di kawasan perbandaran ini,” katanya.

Terdahulu beliau melancarkan Kempen Discover PKNS 2023 di Antara Gapi, Serendah di sini semalam.

Mengulas lanjut Md Kamarzan berkata pihaknya juga merancang melancarkan satu lagi projek membabitkan 90 unit rumah teres dua tingkat dengan saiz lot 20’ x 65’ dan 22’ x 65’ di Seksyen 6A Antara Gapi Ogos depan.

Antara Gapi merupakan perbandaran terancang seluas 952.57 ekar yang dibangunkan PKNS sejak 1998 terdiri unit perumahan serta komersial.

Perbandaran bertema panorama alam tropika menawarkan pelbagai kemudahan kepada pembeli antaranya Sekolah Kebangsaan Antara Gapi, pusat komersial, taman permainan serta kawasan rekreasi yang memberikan keselesaan dan kemudahan kepada penduduk sekitar.

Kempen Discover PKNS 2023 yang diadakan sejak 6 Mei lepas akan berlangsung hingga 29 Oktober ini di Kota Puteri, Gombak; Antara Gapi, Serendah; Selangor Cyber Valley, Cyberjaya; Kompleks PKNS Shah Alam dan berakhir di Pusat Konvensyen Shah Alam.


Pengarang :