Pengunjung Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 mengunjungi syarikat yang terlibat dalam program berkenaan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 18 Jun 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor gedung ekonomi negara, rakyat negeri lain turut dapat manfaat

SHAH ALAM, 18 JUN: Kejayaan Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 bukti bahawa Selangor terus menjadi gedung ekonomi besar negara, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penganjuran karnival kerjaya itu bukan sahaja memanfaatkan rakyat Selangor tetapi juga dari negeri lain.

“Sepanjang penganjuran karnival kerjaya ini, mereka yang hadir bukan sahaja rakyat Selangor tetapi menjadi tarikan mereka yang berhijrah ke sini dan yakin di sinilah gedung ekonomi besar.


Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap di Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 18 Jun 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Dengan adanya karnival kerjaya ini, beri graduan mencari pekerjaan selain meningkatkan peluang pekerjaan baharu secara terus,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan karnival kerjaya itu di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan penurunan kadar pengangguran dicapai negeri merupakan pencapaian tinggi sekali gus menunjukkan Selangor sebuah negeri produktif dalam aspek institusi ekonomi.

“Kalau boleh kita ingin lengkapkan Selangor bermula dengan pendidikan yang boleh menawarkan peluang pekerjaan dan pertumbuhan institusi sehingga teknikal serta vokasional.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri ambil langkah proaktif wujudkan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) yang bukan sahaja tawarkan pendapatan RM2,000 ke RM3,000 tetapi berpendapatan tinggi,” katanya.

Orang ramai mengunjungi syarikat yang terlibat dalam program Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 18 Jun 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 kali ini melibatkan lebih 100 syarikat antaranya sektor F&B (makanan dan minuman), perkhidmatan, automotif, pendidikan serta perhotelan dan pelancongan.

Pertama kali diadakan Jun tahun lalu, penganjuran karnival itu membantu 1,996 individu mendapat pekerjaan.

Usaha itu membantu penurunan kadar pengangguran kepada 2.6 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 2.9 peratus pada 2022.


Pengarang :