Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penerima sumbangan pembinaan dan pembaikan infrastruktur institusi pendidikan ketika majlis pelancaran Tekad Pendidikan Kita Selangor (PTRS) di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri, Shah Alam pada 18 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Amirudin harap pertahan DUN Sungai Tua, tekad lengkap perancangan diatur

SHAH ALAM, 18 JUN: Dato’ Menteri Besar tekad melengkapkan beberapa perancangan yang sudah diatur jika kekal bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Berharap mampu mempertahankan kerusi yang disandang selama tiga penggal, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia secara langsung membantunya mengurus Gombak dengan lebih efisien.

“Insya-Allah saya setakat ini kekal di Sungai Tua, tetapi biasalah kita ahli parti kena ikut arahan (pimpinan pusat).

“Kalau ikut keselesaan dan masa yang telah dicurahkan, saya harap akan sambung lagi di Sungai Tua,” katanya selepas melancarkan Tekad Pendidikan Kita Selangor di Dewan Raja Muda Musa di sini hari ini.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu, Amirudin menang dengan majoriti 11,374 mengalahkan calon Barisan Nasional, PAS dan Bebas.

Ditanya kemungkinan dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor semula, Amirudin menyerahkan kepada pimpinan parti bagi memutuskan perkara itu.

Malah beliau berbesar hati jika dicalonkan selain bersedia menggalas tanggungjawab tersebut.

“Namun begitu, terpulang kepada kepada parti sekiranya parti ada pemikiran lain. Diharapkan ada perbincangan sihat di antara semua pihak.

“Yang pentingnya adalah kemenangan, kejayaan dan juga kesinambungan pentadbiran yang kita bentuk selama ini,” katanya.


Pengarang :