Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Dato’ Ramli Mohd Tahir berucap sempena majlis perasmian Pusat Kitar Semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

KDEBWM buka pusat kitar semula di PPR Kampung Baru Hicom, galak asing sampah

SHAH ALAM, 19 JUN : KDEB Waste Management (KDEBWM) memperuntuk RM20,000 bagi pembinaan pusat kitar semula di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom, di sini.

Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata pusat kitar semula berkonsep ‘drop off’ itu bertujuan menggalakkan penduduk mengasingkan sampah dengan terurus.

Menurutnya, berdasarkan kajian kekurangan kemudahan tersebut menjadi antara faktor amalan kitar semula tidak dapat dilaksanakan dalam kalangan penduduk.

“Dengan adanya pusat kitar semula yang mudah dan efektif ini, diharap penduduk di sini boleh mula mengumpul dan mengasingkan mana-mana sampah yang boleh dikitar semula.

“Sejak pusat kitar semula di sini beroperasi 1 April lalu, hampir 400 kilogram barangan kitar semula berjaya dikumpulkan yang mana sampah paling tinggi adalah plastik diikuti kertas, kotak dan aluminium,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Pusat Kitar Semula PPR Kampung Baru Hicom di sini hari ini.

Turut hadir merasmikan majlis EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail.

Pusat Kitar Semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengoperasian pusat kitar semula berkenaan merupakan kerjasama julung kali diadakan bersama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor melalui anak syarikat Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd.

Ramli menjelaskan kewujudan pusat kitar semula itu juga merupakan salah satu inisiatif bagi mencapai sasaran 15 peratus kadar kitar semula di Selangor menjelang 2025.

“Kita menyeru penduduk di sini khususnya untuk mulakan amalan 5R (Refuse, Reduce, Reuse, Recycle, Recovery) atau (Tolak, Kurangkan, Guna Semula, Kitar Semula dan Pemulihan) sekali gus membantu kita mengurangkan janaan sampah di tapak pelupusan,” katanya.

Sebelum ini, KDEBWM turut mengendalikan operasi pusat kitar semula komuniti Cyberjaya dan dua pusat pengumpulan bahan kitar semula di Jalan Korporat, Klang dan Bukit Puchong.

Pengarang :