Tangkap layar kerja baik pulih jalan menggunakan kaedah ‘mill and pave’ yang giat dilaksanakan petugas Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) di Persiaran Apec, Cyberjaya pada 16 Jun 2023. Foto Twitter Infrasel
AGENSISELANGOR

Kerja turap jalan besar-besaran diteruskan di Cyberjaya, Klang

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 20 JUN: Kerja penurapan jalan secara besar-besaran di seluruh negeri diteruskan Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) di sekitar Cyberjaya dan Klang selama dua hari mulai 15 Jun.

Syarikat penyelenggara jalan negeri itu di Twitter memaklumkan pembaikan tersebut sebahagian Projek Turapan Mega yang giat dilaksanakan pentadbiran negeri sejak bulan lalu.

“Baik pulih jalan di Persiaran Apec, Cyberjaya menggunakan kaedah ‘mill and pave’ (buang lapisan turapan rosak dan gantikan dengan lapisan baharu).

“Pembaikan di Persiaran Delima 1 dan Delima 2 Bandar Parklands, Klang pula menggunakan kaedah ‘overlay’ (turapan atas permukaan jalan sedia ada yang gagal berfungsi),” kata Infrasel.

Pada 16 Mei, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata projek melibatkan kos RM50 juta itu dijayakan bagi meningkatkan kemudahan orang ramai yang dibuat secara menyeluruh.

Beliau juga menjelaskan peruntukan tersebut sebagai tambahan kepada dana RM500 juta pada setiap tahun bagi menguruskan semua jalan negeri.

Pada 7 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem aduan kerosakan jalan raya akan diperluas ke Facebook untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Sejak 2021 hingga tahun lalu, lebih 39,000 kerja turapan jalan dilaksana Infrasel, yang dibaiki dalam tempoh 24 jam berdasarkan aduan orang ramai di Twitter.


Pengarang :