Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Cempaka, Petaling Jaya pada 1 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMA

DUN Sementa, Sungai Burong antara sembilan lokasi jualan murah esok

SHAH ALAM, 20 JUN: Program jualan murah barangan asas anjuran Kerajaan Negeri, Jualan Ehsan Rahmah (JER) diteruskan ke sembilan lokasi esok.

Jualan kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dijadual berlangsung di Padang Bola Sepak Kampung Kenangan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang diikuti Surau Al-Kautsar (DUN Sungai Ramal).

Manakala, jualan sama turut diadakan di KRT Klang Perdana (DUN Sementa), Dewan Sungai Manggis (DUN Banting), Masjid Kampung Sungai Burong (DUN Sungai Burong) dan Kampung Tambak Jaya (DUN Jeram).

Program bertujuan meringankan beban rakyat itu juga berlangsung di Surau Takwa Jalan Enggang (DUN Hulu Kelang), Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang (DUN Dengkil) dan Rawang Perdana (DUN Rawang).

Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda, Klang pada 14 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Program itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Sehingga kini ia memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga awal Disember tahun lalu dengan nilai jualan melebihi RM16 juta.

Pada 31 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

PKPS juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri, baru-baru ini.


Pengarang :