Orang ramai membeli barangan keperluan asas sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves pada 1 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

DUN Dengkil, Rawang, Paya Jaras, Bukit Melawati antara lokasi jualan murah esok

SHAH ALAM, 22 JUN: Program jualan murah barangan asas seperi ayam, ikan, telur dan beras diteruskan ke sembilan lokasi esok bermula 10 pagi.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang bertujuan meringankan beban rakyat diadakan di Balai Raya Blok S Sawah Sempadan (DUN Permatang), Dewan Serbaguna Seksyen 7 (DUN Kota Damansara) dan Taman Kasawari (DUN Bukit Melawati).

Lokasi lain ialah MSU Saujana Utama (DUN Paya Jaras) dan Dewan Sg Serdang (DUN Sementa), pekarangan gelanggang futsal Desa Pinggiran Putra (DUN Dengkil), pekarangan Surau Hj Juri (DUN Sungai Burong), Surau As Syakirin Taman Jati (DUN Rawang) dan Kampung Sungai Sembilang (DUN Jeram).

Jualan murah itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Jualan murah itu adalah kesinambungan Jelajah Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun 2023 dan diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan RM37 juta sejak pelaksanaannya.

Program Jualan Mega Rahmah Aidiladha juga dijadual berlangsung di enam lokasi pada 24 dan 25 Jun menawarkan lebih banyak barangan asas termasuk 12,000 ekor ayam dan 6,000 papan telur.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :