Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang juga Ketua Wanita Keadilan pada sidang media selepas majlis pelancaran Projek Peguam-Bela Keadilan Rakyat (Klinik Bantuan Guaman) Wanita & AMK Keadilan yang di Dewan PJS 1/35, Petaling Utama, Petaling Jaya pada 22 JUN 2023. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY BIN MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KPM laksana intervensi menyeluruh, pastikan prestasi SPM 2023 lebih baik

PETALING JAYA, 22 JUN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan intervensi menyeluruh termasuk memantau kehadiran harian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ke sekolah.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata usaha itu antara lain bagi memastikan prestasi keseluruhan pelajar peperiksaan itu lebih baik tahun ini.

“Mulai hari ini untuk calon SPM 2023 kita telah pun minta semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memastikan kehadiran pelajar ke sekolah dari awal lagi. Jadi kita boleh pantau soal kehadiran.

“Selain kehadiran, intervensi lain termasuk latihan guru dan penumpuan kepada subjek yang dilihat memerlukan sedikit lonjakan,” katanya.

Ketua Wanita Keadilan Fadhlina Sidek menyampaikan ucapan pada Majlis pelancaran Projek Peguam-Bela Keadilan Rakyat (Klinik Bantuan Guaman) Wanita & AMK Keadilan di Dewan PJS 1/35, Petaling Jaya pada 22 JUN 2023. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY BIN MOHD DIN/ SELANGORKINI

Beliau yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) ditemui selepas Majlis Pelancaran Projek Peguam-Bela Keadilan Rakyat di sini, hari ini.

Berhubung 8.4 peratus daripada keseluruhan calon SPM 2022 tidak layak mendapat sijil berikutan gagal dalam subjek Bahasa Melayu atau Sejarah atau kedua-duanya, beliau berkata KPM memastikan ada program ulangan SPM.

“Sebab itu kita juga umumkan semalam hapuskan yuran untuk ulangan itu mereka boleh daftar ambil SPM ulangan,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, KPM mengenal pasti 8.4 peratus daripada keseluruhan calon SPM 2022 tidak layak mendapat sijil berikutan gagal dalam subjek Bahasa Melayu atau Sejarah atau kedua-duanya.


Pengarang :