Ketua Wanita KEADILAN Fadhlina Sidek pada sidang media selepas majlis pelancaran Projek Peguam-Bela Keadilan Rakyat (Klinik Bantuan Guaman) Wanita & AMK Keadilan yang di Dewan PJS 1/35, Petaling Utama, Petaling Jaya pada 22 JUN 2023. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY BIN MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jentera Wanita KEADILAN siap siaga hadapi PRN

PETALING JAYA, 22 JUN: Jentera Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bersiap siaga menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Wanita KEADILAN Fadhlina Sidek berkata majoriti jentera sayap itu di peringkat negeri sudah diaktifkan termasuk memberi penumpuan kepada kerusi penting yang bakal ditandingi.

“Kita masih lagi sasarkan 30 peratus (calon wanita bertanding) untuk kali ini. Diharap keseluruhan rundingan melalui pimpinan perpaduan dapat diselesaikan dengan segera untuk dimuktamadkan supaya kita boleh tumpukan kepada gerak kerja.

“Ia khususnya kerusi yang telah pun dicapai persetujuan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Projek Peguam-Bela Keadilan Rakyat di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Jentera Pilihan Raya Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN Selangor.

Selain Selangor, lima negeri lain yang akan menghadapi PRN adalah iaitu Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.

Isnin lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan membubarkan Dewan Negeri Selangor (DNS) pada esok untuk membenarkan PRN diadakan.


Pengarang :