KLANG, 22 JUN: Seramai 14 jemaah haji berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang layak menerima insentif RM500.
Wakil rakyatnya Azmizam Zaman Huri berkata senarai nama jemaah sudah dihantar kepada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk menerima Insentif Haji Muassasah yang turut meliputi kit syifa.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/02/1200_Azmizam-Zaman-Huri-500x357.jpg)
“DUN Pelabuhan antara terawal menghantar penama yang layak mendapat insentif tersebut memandangkan ramai kalangan mereka terima panggilan cepat daripada Lembaga Tabung Haji (TH).
“Cuma ada sebahagian mereka yang sudah berlepas ke tanah suci Mekah bagi menunaikan ibadah berkenaan, jadi serahan insentif akan dibuat melalui wakil atau tunggu mereka pulang ke Malaysia,” katanya kepada Selangorkini.
Terdahulu, MBI meminta wakil rakyat menghantar segera permohonan insentif Haji Muassasah kepada pihaknya berikutan pembubaran DUN semakin hampir bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar menyasarkan seramai 3,000 jemaah daripada kedua-dua kumpulan terbabit menerima insentif RM500 termasuk barangan seperti ubat-ubatan, cecair pembasmi kuman, losyen dan pelembap bibir.
Antara syarat permohonan ialah warganegara Malaysia yang beralamat di Selangor atau telah mendaftar haji di mana-mana cawangan TH di Selangor.
Pemohon juga perlu mendapat pengesahan penawaran menunaikan haji muassasah tahun ini dari Lembaga Tabung Haji negeri Selangor.