Lori KDEBWM yang digunakan untuk mengutip sampah domestik di seluruh negeri. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KDEBWM: Aplikasi i-Clean tingkat kecekapan urus sampah, selesai aduan 24 jam

SUBANG JAYA, 22 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyelesaikan hampir 15,000 aduan yang diterima menerusi aplikasi i-Clean Selangor antara Januari hingga Mei tahun ini, kata pengarah urusannya.

Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata aplikasi aduan pembuangan sampah secara dalam talian yang dibangunkan sejak 2016 itu membantu pihaknya menyelesaikan aduan orang ramai dengan cepat dan cekap.

“Aplikasi ini bukan sahaja mudah tetapi efisien kerana menghantar pelbagai aduan yang disalurkan terus ke pusat kawalan. Tindakan diambil dalam tempoh 24 jam sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan sisa pepejal dan sampah di Selangor.

“Setakat ini, ada lebih 100,000 pengguna berdaftar yang aktif. Aplikasi ini memberi ruang kepada rakyat menghantar aduan seperti kutipan sampah tertinggal atau longkang tidak dibersihkan,” katanya ditemui selepas majlis anugerah PC.Com edisi ke-23 di Hotel Sunway Resort & Spa malam tadi.

Pada acara untuk mengiktiraf sumbangan sektor swasta anjuran Syarikat Media Reach Publishing itu , aplikasi i-Clean Selangor yang dibangunkan KDEBWM merangkul Anugerah Aplikasi Perkhidmatan Awam Terbaik.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Dato’ Ramli Mohd Tahir bercakap kepada media selepas majlis Anugerah PC.Com edisi ke-23 di Hotel Sunway Resort & Spa, Subang Jaya pada 22 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan tidak semua aduan yang diterima itu dibawah bidang kuasa KDEBWM, sebaliknya diuruskan pihak berkuasa tempatan atau Jabatan Kerja Raya.

“Setiap aduan ini diambil kira namun jika bukan tanggungjawab KDEBWM, kita akan memberi penjelasan kepada pengguna supaya mereka faham.

“Justeru, kita mohon supaya rakyat Selangor muat naik aplikasi i-Clean Selangor supaya pihak kami dapat membantu jika sebarang masalah sekali gus dapat perbaiki mutu perkhidmatan,” katanya.

I-Clean Selangor memudahkan orang ramai melaporkan aduan kutipan sisa pepejal dan mendapatkan perkhidmatan secara dalam talian.

Aplikasi itu memudahkan penduduk mengemukakan aduan pembersihan di kawasan mereka selain memohon perkhidmatan pembuangan sampah pukal.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi itu di Google Play dan App Store selain menghubungi khidmat pelanggan di talian 1-800-88-2824/019-375 9592 atau WhatsApp (019-2742824) supaya aduan diurus dengan lebih cepat dan tepat.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Dato’ Ramli Mohd Tahir (empat,kiri) bergambar bersama kakitangan selepas menerima Anugerah Aplikasi Perkhidmatan Awam Terbaik menerusi sistem aduan pembuangan sampah dalam talian, i-Clean sempena majlis Anugerah PC.Com edisi ke-23 di Hotel Sunway Resort & Spa, Subang Jaya pada 22 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :