Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari selepas majlis perhimpunan penjawat awam dan pemimpin masyarakat bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemimpin politik perlu akur titah tidak guna isu agama, kaum

SHAH ALAM, 23 JUN: Semua pihak perlu mematuhi titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor supaya tidak menyentuh sensitiviti agama dan kaum dalam pilihan raya negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengingatkan peringatan tersebut turut terpakai kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang dilihat giat memainkan sentimen tersebut.

“Itu tradisi mereka (pembangkang), mereka bukannya faham pun. Sultan Selangor, Terengganu, malah Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya tidak guna isu sensitif agama dan kaum ketika berkempen.

“Saya harap ia tidak berlanjutan dan jadi permainan di Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program perhimpunan bulanan bersama penjawat awam di sini hari ini.

Amirudin mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa PAS, salah satu komponen PN, banyak menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja.

Isnin lalu, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan calon dan penyokong parti politik dalam PRN Selangor supaya tidak menggunakan isu agama dan kaum sepanjang berkempen.

Baginda juga mengingatkan kelompok berkenaan supaya tidak memainkan isu sensitif yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat di negeri ini.


Pengarang :