Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari selepas majlis perhimpunan penjawat awam dan pemimpin masyarakat bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor terbit kad laporan prestasi lima tahun pentadbiran

SHAH ALAM, 23 JUN: Kad Laporan Kerajaan Selangor 2018-2023 akan diterbitkan bagi memudahkan orang ramai menilai pencapaian dan prestasi pentadbiran negeri sepanjang lima tahun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan kad laporan yang julung kali dibuat itu merangkum semua pencapaian dalam sektor ekonomi selain penyaluran bantuan kepada rakyat.

Beliau yang juga pengerusi Pakatan Harapan Selangor yakin rakyat kembali memilih pentadbiran negeri sedia ada berdasarkan prestasi mereka yang termuat dalam kad laporan berkenaan.

“Buku laporan itu rangkuman pencapaian negeri dari segi mikro ekonomi dan program kebajikan setiap EXCO.

“Kadang-kadang orang tidak tahu program kita. Jadi, kita rangkum untuk difahami dan dinilai. Kalau dibentang, rakyat ada kecenderungan tinggi untuk kembali pilih kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan bersama penjawat awam dan pemimipin masyarakat di bangunan pentadbiran negeri di sini hari ini.

Dalam majlis yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim dan pimpinan negeri, Amirudin turut melancarkan simbolik kad laporan berkenaan.

Kad 96 halaman terbahagi kepada sektor ekonomi, kebajikan selain usaha menangani krisis kesihatan dan bencana serta program masa hadapan Selangor dijadual terbit pada 1 Julai.

Ia juga memperinci Belanjawan Negeri antara 2020 hingga 2023 dalam pelbagai sektor.

Laporan berkenaan boleh dimuat turun menerusi pautan https://www.selangorpenyayang.com/ dan http://amirudinshari.com mulai 1 Julai.


Pengarang :