Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis amanat khas PM bersama penjawat awam Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam pada 12 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kakitangan awam gembira usaha tingkat ekonomi negeri dapat perhatian PM

SHAH ALAM, 24 JUN: Rata-rata kakitangan awam gembira berikutan peranan mereka membantu pertumbuhan ekonomi negeri mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penolong Pegawai Tadbir Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Noraini Roslan berkata kejayaan itu hasil sistem pentadbiran negeri menerusi kerajaan sedia ada yang diurus dengan baik.

“Selangor semakin ke depan khususnya aspek ekonomi kerana pemimpinnya cekap. Begitu juga inisiatif yang dibuat membantu rakyat.

Saya setuju seruan dibuat beliau (Anwar) kerana sistem dan pentadbiran negeri bawah kerajaan sekarang diurus sangat baik. Jadi, ia wajar dikekalkan supaya Selangor terus berkembang.

“Sebagai penjawat awam, kamilah yang berperanan menguar-uarkan (inisiatif) kepada rakyat,” katanya yang 17 tahun berkhidmat di pihak berkuasa tempatan itu.

Pegawai operasi Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) Albert Jayraj berkata pihaknya giat meneruskan usaha membantu graduan dan penganggur untuk mendapat pekerjaan.

“Itu antara peranan kita boleh mainkan sebagai penjawat awam yang mengurus unit pemberdayaan pekerja,” katanya.

Pegawai Operasi Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) Albert Jayraj. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Seorang lagi kakitangan awam yang mahu dikenali sebagai Rojer Chin mahu menyebar luas program negeri kepada rakyat Selangor termasuk Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Kita kena kekalkan kerajaan sedia ada di Selangor kerana urus tadbir pemimpin sekarang sangat baik selain banyak program diperkenalkan untuk manfaat segenap lapisan masyarakat.

“Sebagai penjawat awam, kita akan pastikan rakyat tahu manfaat ini,” katanya.

Kakitangan awam Selangor Rojer Chin. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Pada 12 Jun lalu, Anwar menyeru kakitangan awam Selangor mempertahan negeri ini sebagai kubu Kerajaan Perpaduan berikutan negeri ini menjadi induk ekonomi negara.

Pemimpin nombor satu negara itu turut mengajak kakitangan awam supaya mengembalikan maruah dan imej Malaysia sebagai negara hebat di rantau ini.


Pengarang :