Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Sepang di Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 24 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kualiti barangan setanding pasar raya, orang ramai ternanti program JER

KUALA LANGAT, 24 JUN: Barangan berkualiti setanding pasar raya tetapi murah membuatkan pengunjung berulang kali berbelanja pada program jualan murah Kerajaan  Negeri.

Pemandu lori Jafri Mat Juah, 45, berkata sejak inisiatif meringankan beban rakyat Jelajah Ehsan Rakyat (JER) (sekarang dikenali Jualan Ehsan Rahmah) diperkenalkan pada September tahun lalu, beliau jarang ke pasar raya dan menunggu membeli barangan basah di jualan itu.

Jafri Mat Juah. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Seingat saya, sudah lebih 30 kali saya datang. Saya memang beli telur, ikan, ayam, daging dan beras di sini kerana ia murah. Memang berbaloi, jarang sangat ke pasar raya sekarang.

“Program ni diadakan hampir setiap hari. Memang saya rasa sangat bersyukur sangat kerana boleh berjimat dalam keadaan kos sara hidup makin tinggi,” katanya ketika ditemui di program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Sepang di Pantai Batu Laut di sini, hari ini.

Pekerja swasta Nurul Fasihah Abd Rahim, 29, berkata jualan murah termasuk jualan mega sempena musim perayaan membantu persiapan Aidiladha masyarakat setempat.

Nurul Fasihah Abd Rahim. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Semua orang perlu mengawal belanja dapur, jadi bila ada peluang seperti ini memang kami nantikan dan berharap ia dapat diteruskan lebih lama lagi,” katanya.

Jualan Mega Rahmah Aidiladha menawarkan lebih banyak barangan asas termasuk 12,000 ekor ayam dan 6,000 papan telur dijadualkan berlangsung di enam lokasi pada hari ini dan esok.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan jualan barangan asas pada Sabtu membabitkan Parlimen Gombak (Padang Awam Batu Caves); Parlimen Pandan (Dewan Serbaguna Jalan H, Kampung Pandan Dalam) dan Parlimen Sepang (Pantai Batu Laut).

Agensi itu turut memaklumkan, jualan sama turut berlangsung pada Ahad di Parlimen Tanjung Karang (Dewan Haji Omar Kampung Bukit Belimbing), Parlimen Sabak Bernam (Tapak Pasar Sehari Pekan Sabak) dan Parlimen Hulu Selangor (Dataran Niaga Serendah).

PKPS turut menawarkan barangan kering jenama Ehsan, minyak peket satu kg serta ikan dan kerang segar di semua lokasi jualan mega.

Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Sepang di Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 24 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :