AGENDAJENAYAH

Penyanyi wanita dicabul selepas persembahan, lelaki ditahan bantu siasatan

SEREMBAN, 26 JUN: Lelaki tempatan ditahan kerana dipercayai mencabul kehormatan penyanyi wanita di sebuah bilik VVIP di Dataran Nilai, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abd Malik Hasim berkata penyanyi wanita berusia 26 tahun itu membuat laporan kira-kira sejam selepas kejadian iaitu pada 11.05 malam.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku selepas mangsa selesai membuat persembahan untuk program hiburan di sebuah festival.

“Penyanyi itu mendakwa didatangi lelaki berkenaan dan meminta kebenaran untuk berswafoto dengannya sebelum lelaki tersebut menarik, menggenggam seterusnya mencium tangan wanita itu.

“Terkejut dengan tindakan tersebut, penyanyi itu kemudian menjerit, namun lelaki terbabit melarikan diri, bagaimanapun, dia kemudian berjaya ditangkap oleh penganjur dan diserah kepada anggota polis yang bertugas di festival berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah dan direman tiga hari mulai hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :