Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu (kanan) ketika menghadiri Karnival Wanita MADANI Zon Timur di Datum Jelatek, Hulu Kelang pada 25 Jun 2023. Foto Facebook Anfaal Saari
AGENSISELANGOR

Tingkat taraf hidup, lebih 20,000 terima manfaat program wanita berdaya

Oleh Fhatihah Zakinan

SHAH ALAM, 26 JUN: Lebih 20,000 wanita menerima manfaat di bawah program Wanita Berdaya Selangor (WBS) sebagai ikhtiar mengembangkan potensi serta meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.

Ahli Majlis Zon 3 Majlis Perbandaran Ampang Jaya Anfaal Saari berkata program bimbingan secara berterusan penting untuk memperkasa wanita supaya golongan itu mampu membantu proses pembangunan negeri.

“Sebagai contoh Biasiswa Wanita Selangor boleh digunakan sehingga ke peringkat kedoktoran, Geran Rumah Perlindungan WBS untuk melindungi wanita dari keganasan rumah tangga serta mengarusperdanakan gender bagi menghasilkan agenda yang lebih sensitif, adil dan saksama untuk gender.

“Inisiatif tersebut melonjak kaum wanita dalam pelbagai aspek dari kepimpinan, pendidikan, kekeluargaan, ekonomi, kesihatan sehinggalah kepada sosioekonomi.

“Saya percaya bahawa pembangunan sebuah masyarakat MADANI harus bermula dan diperkasakan di akar umbi, dan diluaskan cakupannya ke seluruh negara,” katanya di Facebook semalam.

WBS sebagai agensi pelaksana, biasiswa bermatlamat menyediakan wanita yang berilmu pengetahuan dan berkompetensi tinggi menerusi pendidikan yang berterusan, senada dengan aspirasi Dasar Wanita Selangor.

Biasiswa WBS dilancarkan pada tahun 2021 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam usaha melaksanakan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PPSH).

Peserta Karnival Wanita MADANI Zon Timur di Datum Jelatek, Hulu Kelang pada 25 Jun 2023. Foto Facebook Anfaal Saari

Pengarang :