EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni (dua, kiri) dalam pertemuan bersama Gabungan Sekolah Islam Selangor (Gasis) di bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 27 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tempoh daftar sekolah agama persendirian dilanjut, bantu 10,000 pelajar duduki periksa

SHAH ALAM, 27 JUN: Tempoh pendaftaran 55 sekolah agama persendirian di Selangor dilanjutkan hingga sekurang-kurangnya tahun depan, kata EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau berkata lanjutan itu membantu kira-kira 10,000 pelajar untuk menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) pada November dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) Januari tahun depan.

“Peperiksaan dijangka bermula November sehingga Januari hadapan. Kita akan tengok tempoh yang diperlukan dan lihat semula keperluan untuk proses pendaftaran,” katanya dalam sidang selepas bertemu Gabungan Sekolah Islam Selangor (Gasis) di bangunan pentadbiran negeri di sini harini.

Dalam pertemuan lebih sejam itu,  Mohd Zawawi menjelaskan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitik berat isu keselamatan pelajar tahfiz dan sekolah agama di negeri ini.

Mohd Zawawi  juga menegaskan Kerajaan Negeri tidak memandang mudah dalam isu peraturan terhadap pengendali pusat pendidikan berikutan ada tragedi yang meragut 23 nyawa murid pada 2017.

“Soal keselamatan ini menjadi perkara asas. Kita tidak mahu dilihat sambil lewa, sedangkan kita ada peraturan untuk pastikan keselamatan persekitaran,” katanya.

Pada September 2017, seramai 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat maut dalam kebakaran asrama tiga tingkat di premis tersebut.

Justeru, Sultan Selangor pada tahun berikutnya menitahkan garis panduan semua pusat tahfiz ditambah baik termasuk membuat garis panduan baharu bagi meningkatkan tahap keselamatan murid.

 


Pengarang :